Khamis, 31 Disember 2015

Blog – Tujuan dan Kepuasan

Dahulu… semasa saya mula-mula berkenalan dengan Internet, saya pernah mempunyai blog. Tujuannya sekadar mahu mencoretkan rasa hati dan sempatlah mempunyai lebih kurang sepuluh orang pengikut.

Dan ketika itu, saya – dengan sifat yang serba ingin mempelajari sesuatu, mengkaji kod html pada blog untuk memastikan blog saya dapat menangkap mata seseorang. Ketika itulah… kalau disuruh buat sekarang, mungkin saja saya boleh membuatnya tetapi dengan masa yang agak panjang atau mungkin tiada apa yang saya dapat persembahkan.

Tahun bertambah tahun. Jumlah entri saya semakin menyusut. Daripada lima ke enam entri sebulan, jumlah itu menjadi jumlah untuk tahunan. Mungkin faktor usia yang semakin meningkat, saya jadi sibuk dengan hal-hal keduniaan yang lain, lalu membuatkan saya sering melupakan kewujudan blog. Makanya, saya memadam blog dan fokus dengan apa yang saya kerjakan.

Dan mungkin pada tahun 2016 ini, selepas melalui pelbagai fasa dalam hidup, antaranya; kehilangan orang yang tersayang, berjaya menamatkan pengajian, bergelumang dalam alam pekerjaan dan macam-macam lagi, yang mungkin semakin mematangkan pemikiran saya. Atau mungkin juga sebab saya semakin sibuk dengan hal-hal keduniaan yang tidak pernah surut sehingga mengakibatkan saya jadi manusia yang..., sepertimana saya saya sekarang, makanya saya berkeputusan untuk mengadakan blog semula.

Saya maklum, pada zaman di hujung jari ini, pada zaman orang sibuk dengan Facebook, Twitter, Instagram atau bermacam lagi laman web sosial, saya memilih blog untuk meluahkan apa yang saya rasa, menyatakan ketidakpuasan hati, atau berkongsi pengalaman yang pernah saya lalui atau apa-apa yang terlintas di fikiran saya kelak. Dan saya berharap penulisan saya di blog dibuat secara konsisten seiring dengan kekonsistenan saya sebagai penulis.

Salam ukhuwah.
Salam tahun baru 2016.


Faratira